Pendirian
laman web Suara
Sosialis
Malaysia
Dokumen ini adalah kenyataan mengenai beberapa prinsip
asas yang dipegang oleh pencipta laman web Suara Sosialis Malaysia,
seperti yang terkandung di http://www.istendency.org/
Laman
web ini diciptakan untuk mempertahankan prinsip-prinsip sosialisme dari bawah,
iaitu demi penguasaan masyarakat secara langsung dan secara demokratik oleh
kelas pekerja. Walaupun para pekerja menghasilkan segala kekayaan dalam
masyarakat kapitalis, mereka tidak mempunyai kawalan ke atas pengeluaran dan
pengagihan. Maka, sebuah masyarakat sosialis yang lebih adil hanya dapat dibina
apabila para pekerja secara kolektif telah merampas kawalan ke atas kekayaan
itu dan merancangkan pengeluaran serta pengagihan secara demokratik untuk
memenuhi keperluan-keperluan manusia, dan bukannya demi keuntungan. Kelas pekerja,
biarpun di dunia maju mahupun di negara-negara membangun seperti Malaysia,
merupakan majoriti dalam masyarakat dan merupakan kunci dalam perjuangan demi
sosialisme. Kebebasan hanya dapat dimenangi oleh perjuangan pekerja sendiri,
diatur secara bebas dari kesemua kelas yang lain dan berjuang demi kuasa
pekerja tulin.
Reformasi
dalam sistem kapitalis tidak dapat mengakhiri penindasan dan pengeksploitasian.
Maka, kapitalisme mesti ditumbangkan. Struktur-struktur kerajaan kapitalis yang
sedia ada – parlimen, tentera, polis dan sistem perundangan parlimen – tidak
dapat diambil-alih dan digunakan oleh kelas pekerja. Ianya telah membesar di
bawah sistem kapitalisme dan direka untuk menjaga kelas pemerintah daripada
kelas pekerja. Walaupun laman web ini menyokong mana-mana gerakan menuju
keadilan dan demokrasi, termasuklah gerakan reformasi di Malaysia, ia dipegang
bahawa ini tidaklah mencukupi.
Kelas pekerja memerlukan jenis kerajaan yang sangat
berbeza – sebuah kerajaan pekerja yang berdasarkan majlis-majlis pekerja dan
sebuah militia pekerja. Majlis-majlis ini akan didasarkan pada wakil-wakil yang
dilantik dari tempat-tempat bekerja, ladang-ladang dan kawasan-kawasan
perumahan, lalu akan menjadi badan pengambil keputusan dalam masyarakat.
Seperti semasa Revolusi Rusia pada tahun 1917, ianya akan menjadi organ-organ
demokrasi secara langsung di mana wakil-wakil dapat dipanggil balik dengan
serta-merta oleh pengundi-pengundi. Dengan menggabungkan fungsi politik dan
ekonomi, majlis-majlis pekerja akan membenarkan perlibatan secara langsung
dalam pengelolaan masyarakat oleh kelas pekerja.
Perjuangan
demi sosialisme adalah sebahagian daripada perjuangan sedunia. Laman web ini
berjuang demi perpaduan dengan pekerja di kesemua negara dan menentang apa-apa
yang menjadikan pekerja di satu negara bermusuh dengan pekerja di negara lain,
termasuklah peperangan, rasisme dan propaganda nasionalis. Pada masa yang sama,
imperialisme mesti ditentang sepenuh hati dan sokongan diberikan kepada
gerakan-gerakan kemerdekaan nasional yang tulin. Segala kawalan imigrasi
ditentang sepenuhnya kerana ia membahagikan pekerja-pekerja dari negara-negara
yang berbeza.
Pengalaman Rusia menunjukkan bahawa revolusi sosialis
tidak dapat hidup di satu negara. Negara Cina, Kuba dan Vietnam, seperti bekas
Kesatuan Soviet dan blok Timur, tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan
sosialisme. Ia merupakan rejim-rejim kapitalisme kerajaan yang menindas dan
mengeksploitasi pekerja. Justeru itu, laman web ini menyokong perjuangan
pekerja-pekerja di negara-negara ini menentang kelas pemerintah birokratik.
Kapitalisme
membahagikan kelas pekerja – menjadikan pekerja bermusuh di antara satu sama
lain, kaum lelaki berhadapan dengan kaum wanita, satu bangsa menentang bangsa
yang lain, mereka yang menjalinkan hubungan lain seks menentang mereka yang
menjalinkan hubungan sama seks. Laman web ini menentang rasisme dalam kesemua
bentuk, dan menyokong hak rakyat peribumi, bangsa-bangsa minoriti dan kesemua
kumpulan tertindas yang lain untuk berjuang demi kebebasan mereka. Kebebasan
wanita, kebebasan mereka yang menjalinkan hubungan sama seks, kebebasan
golongan-golongan minoriti adalah penting bagi revolusi sosialis. Laman web ini
menyokong kesama-rataan benar bagi wanita, mereka yang menjalinkan hubungan
sama seks, pemuda-pemudi dan golongan-golongan tertindas lain dari segi sosial,
ekonomi dan politik.
Untuk
mencapai sosialisme, para pekerja yang paling militan mesti diatur dalam sebuah
parti revolusioner sosialis untuk memberikan kepimpinan politik dan kemantapan
pengaturan kepada revolusi. Dari segi antarabangsa, laman web ini menyokong
usaha-usaha Peralihan Sosialis Antarabangsa (International Socialist
Tendency) yang sedang mengambil langkah-langkah untuk membina parti-parti
sosialis revolusioner di seluruh dunia – parti-parti yang terbenam di
tempat-tempat bekerja dan mampu memberikan arah politik dalam gerakan kelas
pekerja.
Sebuah
parti sosialis revolusioner hanya dapat dibina melalui perlibatan pihak
sosialis dalam perjuangan pekerja seharian dan dengan genggaman kukuh pada
fahaman teori sosialis. Oleh kerana itu, laman web ini diasaskan untuk
melanjutkan usaha-usaha pihak sosialis di Malaysia (termasuklah usaha-usaha
Parti Sosialis Malaysia) dengan harapan pendirian sebuah parti sosialis
revolusioner tulin yang berjuang demi sosialisme antarabangsa. Laman web ini
menyeru semua orang yang bersetuju dengan prinsip-prinsip ini untuk
bersama-sama membina perjuangan menentang kapitalisme dan untuk membina gerakan
menuju sosialisme.
Kaum pekerja sedunia, bersatulah!